Tuesday, February 9, 2010

SELAMAT BERANGKAT WAHAI PUTERAKU

Amirul, anak kedua dan ketiga saya bersama nenek mereka ketika konvokesyen.

Sahabat dan rakan,
Lama benar saya tidak menulis. Ingatkan pada tahun baru dulu naklah menulis ucap selamat. Namun saya begitu sibuk. Tahun 2009 tahun penuh dugaan bagi kami..Pearl Goat Farm. Kalender tahun tersebut penuh warna warni. Sekejap suka dan sekejap duka. Namun rahmat tuhan terlalu luas. Ia memberi dan mengambil semula dengan kekuasaanNya. Kami pasrah.
Sahabat sekalian,
Namun pada hari ini saya tidak akan menulis banyak mengenai aktiviti penternakan. Ingat lagi kata2 saya awal tahun baru 2009? Penternakan bagaikan darah yang telah mengalir didalam urat nadi kehidupan saya...jadi jangan ragu-ragu...saya adalah penternak tulen walaupun kali ini saya kurang bercerita pasal itu.
Rakan penternak sekelian,
Pada 7hb. Februari, 2010 jam 9.55 pagi..otai penternak, pemuda yang penuh dengan cita-cita dan yang juga putera sulung saya telah berangkat meninggalkan Malaysia..tanah air tercinta ini. Penerbangan yang mengambil masa 8 jam telah membawa Amirul jauh dari Malaysia. Mendarat di Melbourne Australia di dalam misinya mengejar impian hidup. Amirul akan menyambung pelajaran diperingkat ijazah pertama di dalam bidang Mechanical Engineering di RMIT University. Beliau berjaya memperolehi penajaan MARA dibawah skim SPC ( Skim Pelajar Cemerlang ). Marilah kita warga penternak sekelian berdoa semuga anak muda ini berjaya memperolehi ijazahnya. Namun jiwa penternaknya tidak akan luput. Beliau tetap memantau perjalanan aktiviti penternakan Pearl Goat Farm dari jauh.
Sahabat dan rakan taulan,
Ketika menerima ucapan tahniah dari jiran-jiran, saya tetap menyatakan bahawa " Perjuangan masih Belum Selesai" meminjam kata-kata mantan perdana Menteri kita, Yang Dikasihi Tun. Saya sentiasa berdoa semuga putera sulung saya ini mampu menjadi insan yang cemerlang. Memang saya akan merinduinya..sebagai anak yang soleh, sebagai rakan kongsi yang tegas dan sebagai sahabat yang jujur menyuarakan sesuatu. Tetapi saya sangat gembira beliau memperolehi apa yang diinginkan. Sebagai anak sulung saya harap beliau dapat merintis jalan untuk adik-adiknya.
Rakan-rakan sekelian,
Fahamlah anda semua sekarang mengapa telah lama saya menyepi dari blog ini. Membuat persediaan untuk keluar negara menuntut banyak masa dan saya berharap dapat menyelesaikan tanggung-jawab itu tanpa ada cacat-celanya. Untuk anak muda ini, saya sentiasa mendoakan beliau memperolehi apa jua yang diimpikannya. Untuk rakan penternak yang lain...kalau nak cari kambing di Australia bolehlah melawat amirul sekali.
O.k permisi dulu dengan tuntutan..agar rakan penternak semua ikhlas mendoakan kejayaan penternak muda ini.
Wasalam.

No comments: